Saturday, December 10, 2011

sindrom autisme - bahagian dua

Sindrom Autisme adalah satu masalah perkembangan yang paling sukar untuk difahami. Sindrom ini merupakan satu fenomena yang luar biasa dan kejadian insiden adalah lebih kurang lima hingga lima belas setiap sepuluh ribu kelahiran di seluruh dunia. Autisme merupakan suatu gangguan pada fungsi pervasif iaitu gangguan pada masalah perkembangan, khususnya fungsi yang mengatur kemampuan interaksi sosial dan gangguan komunikasi. Gangguan autisme ini empat kali lebih banyak terjadi pada anak lelaki dibandingkan anak perempuan, dan sindorm ini tidak dipengaruhi oleh genetik, etnik, status sosial, gaya hidup, ataupun taraf pendidikan.

Menurut American Psychiatric Association (1994), gangguan ini berkisar pada tiga perkara utama iaitu gangguan interaksi sosial, komunikasi, dan tingkah laku berulangan yang streotaip dan terhad. Menurut Trevarthen (1998), hampir kesemua kes autisme menghadapi gangguan interaksi sosial, masalah kemahiran berkomunikasi dan aspek imaginasi. Seperti yang kita ketahui, kemahiran sosial amat penting dalam kehidupan manusia dan perkara ini dipelajari sejak kecil lagi. Kemahiran asas sosial yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak ialah kemahiran menarik perhatian orang lain, berkongsi dan memberi, meminta dan bertanya, memberi idea dan memuji atau memberi penghargaan. Malangnya terdapat kanak-kanak yang tidak dapat mempelajari untuk berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya mereka dan masalah ini disebabkan terjadinya sindrom autisme ini. Jadi adalah penting untuk kita semua mengambil berat mengenai masalah ini khususnya buat ibu bapa yang baru sahaja menimang cahaya mata atau pun pada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil lagi. Pada hari ini, saya akan menerangkan tentang beberapa simptom autisme serta kaedah yang boleh dilakukan bagi mencegah dan merawat sindrom ini.

Simptom-simptom autisme boleh dikesan semasa bayi lagi iaitu seawall umur tiga hingga enam bulan. Anak anda akan kelihatan tidak memberikan reaksi atau tersenyum jika anda berinteraksi dengannya. Kemudian apabila usianya semangkin meningkat, anak anda akan kelihatan acuh tak acuh, mengalami gangguan bicara dan tidak berinteraksi dengan normal.

Simptom-simptom yang lebih tepat bagi autisme ialah anak anda akan menjadi anti sosial. Contohnya, perkara ini boleh dilihat apabila kanak-kanak ini dibawa ke rumah orang lain. Kanak-kanak ini akan memberikan reaksi tidak selesa dan tidak suka. Dia hanya akan duduk bersama dengan anda atau orang yang dikenalinya sahaja atau pun dia akan menangis dan meraung selagi dia berada di situ. Kedua ialah pergerakan fizikal berulangan. Kanak-kanak ini akan mengulangi perkara yang dilakukannya berkali-kali tanpa rasa bosan atau penat. Contohnya, dia akan merenung satu gambar lalu menutup majalah itu. Kemudian dia akan membukanya kembali dan melihat gambar yang sama dan menutupnya kembali. Ketiga, simptom autisme akan menyebabkan kanak-kanak kurang komunikasi lisan atau ekolalia. Kanak-kanak ini tidak akan suka berbual atau berinteraksi dengan sesiapa. Dia lebih suka berada dalam dunianya sendiri. Kebanyakkan komunikasinya lebih kepada rakan imaginasinya atau imej yang dilihatnya dalam cermin.

Simptom yang keempat ialah tidak bertentangan mata. Kita akan jarang dapat bertentang mata dengan kanak-kanak autisme ini kerana mereka tidak suka memberi fokus. Hal inilah yang membuatkan kanak-kanak autisme sukar untuk menangkap apa yang diajar. Simptom yang kelima ialah kurang memberi respon. Jika kita mengajarnya sesuatu atau menunjukkan sesuatu perkara yang menarik, kanak-kanak autisme tidak akan memberikan sebarang reaksi tertarik atau berminat dengan apa yang cuba dijelaskan. Simptom yang keenam ialah tidak mahu perbezaan dalam hidup seharian. Contohnya, kanak-kanak ini biasa menonton suatu rancangan pada setiap pagi. Jika pada suatu hari kita menukar rancangan lain, dia akan meraung dan meminta juga untuk menonton rancangan yang sama ditonton pada setiap hari. Kanak-kanak autisme juga tidak suka bermanja-manja. Jadi, jika anak anda tidak suka didakap atau didukung, maka dia berkemungkinan menghadapi gangguan autisme ini. Simptom yang kelapan ialah perasaan sayang keterlaluan kepada objek. Contohnya, kanak-kanak ini suka membelek surat khabar. Jika dia tidak dapat memiliki surat khabar tersebut, dia akan meraung atau cuba merampasnya dari orang yang memegang surat khabar tersebut.

Simptom yang kesembilan ialah kanak-kanak autisme suka pada permainan luar biasa. Kanak-kanak ini tidak seperti kanak-kanak lain yang suka bermain masak-masak, anak patung, atau bermain di taman permainan. Kanak-kanak autisme akan mereka permainan mereka sendiri contohnya bermain dengan bayangnya sendiri di dalam cermin, naik dan turun tangga, atau pun berjalan di atas pagar rumah. Hal ini jugalah yang membawa kepada simptom terkahir iaitu kanak-kanak autisme tidak mengenali bahaya.
Beberapa cara boleh dilakukan untuk mencegah kanak-kanak daripada sindrom autisme. Pengetahuan tentang simptom-simptom ini akan dapat membantu anda untuk memastikan anak-anak anda tidak menghadapi gangguan autisme.

Persediaan boleh dilakukan seawal anak anda berumur tiga bulan. Pastikan anak anda peka kepada pendengaran dan memberikan fokus jika anda berinteraksi dengannya. Selain itu, pemeriksaan harus dilakukan sebulan sekali bagi memastikan anak anda normal bagi fungsi pervasifnya. Anda perlulah sentiasa memastikan perkembangan anak anda berada dalam tahap yang normal. Contohnya jika anak anda masih tidak boleh bercakap walau sepatah pada umur setahun lebih, anda bolehlah mula membuat pemeriksaan terapi. Jangan benarkan anak anda kerap menonton televisyen semasa dia masih kecil. Fokusnya akan hilang dan dia akan cenderung untuk mencipta dunianya sendiri sehingga sukar untuk memberikan tumpuan pada perkara lain. Pastikan juga anak anda tidak diberi makanan yang tidak berkhasiat atau mengandungi bahan kimia yang banyak khususnya makanan segera. Hal ini mampu mengakibatkan perkembangan otak mereka menjadi lebih lambat dari tahap perkembangan biasa. Anak anda juga seharusnya dilatih untuk tidak memakai lampin seawal mungkin. Kanak-kanak perlu tahu untuk pergi ke tandas dengan sendiri pada seawal usia tiga tahun dan ke atas kerana latihan ini akan memberikan anak anda persediaan untuk menerima proses pembelajaran yang memerlukan disiplin dan fokus yang tinggi.

Bagi kanak-kanak yang telah disahkan menghidap gangguan autisme, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan ibu bapa untuk merawat atau membantu kanak-kanak ini. Ibu bapa bolehlah menghantar kanak-kanak ini ke pusat pendidikan khas atau pusat terapi yang menyediakan rawatan bagi autisme. Contohnya, seperti di Tadika Sayang, Seksyen 7, Shah Alam, menyediakan proses pembelajaran untuk kanak-kanak autisme seperti mengatur barang, menjahit, melihat gambar, dan sebagainya. Semua ini bagi memberikan mereka fokus yang baik. Klinik Adik di Seksyen 9, Shah Alam, juga menyediakan terapi komunikasi untuk kanak-kanak autisme dan sepertinya. Terapi ini membantu kanak-kanak untuk fokus dan berkomunikasi dengan baik.

Selain dari menghantar kanak-kanak ini ke pusat pendidikan khas, ibu bapa juga boleh bekerjasama untuk melakukan proses pembelajaran sendiri. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti seperti mengajar mereka melalui gambar-gambar yang menarik. Ibu bapa perlu memastikan kanak-kanak ini biasa dengan perubahan dan tidak boleh terlalu mengikut kehendak kanak-kanak autisme ini. Mereka perlu diajar tentang bahaya dan penting untuk mereka ketahui apabila orang lain memarahi mereka. Ibu bapa juga perlu memastikan kanak-kanak ini memandang mata mereka semasa berkomunikasi. Walaupun perkara ini agak sukar dilakukan, namun begitu pembelajaran ini perlu diteruskan bagi memberikan mereka kepekaan dan fokus yang baik.

Kesimpulannya, autisme bukanlah suatu sindrom biasa yang mudah dirawati. Sindrom autisme ini telah dikenal pasti di seluruh dunia. Sindrom ini dapat terjadi pada sesiapa sahaja. Tidak ada perbezaan status sosio-ekonomi, pendidikan atau keturunan etnik. Jumlah kes dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun. Oleh sebab itu, adalah penting bagi semua untuk mengambil serius hal ini. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik dari merawatnya.

0 kata pembaca: